"1 SEKOLAH 1 BLOG KE ARAH TRANFORMASI PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING"

Followers

Protected by Copyscape Online Plagiarism Test

SEJARAH


Pembangunan

Pembinaan bangunan sekolah ini bermula pada tahun 1980 yang merangkumi dua blok bangunan dua tingkat yang boleh menempatkan 12 buah bilik darjah, dua buah makmal sains dan dua buah bengkel Sains Rumah Tangga.  Satu blok bangunan setingkat turut dibina khusus untuk dijadikan bengkel Seni Perusahaan.  Tiga blok bangunan berikutnya dibangunkan sebagai asrama putera dan puteri serta sebuah dewan makan.
SMK Matang dibuka pada 1 Disember 1982 dan hanya menyediakan dua kelas bagi pelajar tingkatan satu serta satu kelas bagi tingkatan dua.  Sebahagian  daripada pelajar-pelajar yang berdaftar pada tahun tersebut adalah berasal dari Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang.  Mereka dipindahkan ke SMK Matang berikutan kawasan tempat tinggal mereka terletak berhampiran dengan sekolah ini.  Sebelumnya mereka terpaksa berulang alik dari SMK Tengku Ampuan Intan yang jaraknya antara 20 – 35 km iaitu satu-satunya sekolah menengah di Daerah Hulu Terengganu pada ketika itu.
Pada peringkat awal sekolah dibuka untuk pelajar hanya setakat tingkatan tiga sahaja tetapi kemudiannya dilanjutkan  sehingga tingkatan lima.  Pada tahun 2004 pula sekolah telah mencatat sejarah sebagai tahun perintis calon STPM kerana telah menerima masuk pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2003 bagi mengisi kekosongan dua buah kelas yang telah disediakan.  Sebelum ini, pelajar yang ingin menyambung pelajaran di peringkat STPM perlu mengambilnya di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang.
Pada Disember 1991, satu blok bangunan tiga tingkat yang dikelolakan oleh projek KBSM telah dibina dan mula diguna pakai untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran setahun kemudian.  Manakala pada tahun 1994 pula satu blok tambahan yang boleh memuatkan empat buah kelas telah terpacak di bawah pembiayaian projek segera bagi menampung kekurangan kelas yang sedia ada dan mengatasi masalah kelas terapung.  Namun, dalam tempoh empat tahun kemudian kekurangan kelas tidak dapat dielakkan.  Oleh yang demikian, pada 1 Januari 1998 sesi persekolahan di sidang petang mula diperkenalkan bagi mengatasi masalah tersebut.
Pada 1 Ogos 1999, pembinaan baru bangunan tambahan dimulakan bagi tujuan penambahan bilik darjah, menaik taraf dan penempatan perpustakaan dan pusat sumber baru, penambahan tiga buah Makmal Sains Tulin dan sebuah makmal komputer. Berikutan proses pembinaan tersebut telah siap maka bermula pada 1 April 2001 sekolah kembali menjalankan sesi persekolahan di sebelah pagi sahaja seperti sedia kala.
Sejarah penting berlaku pada tahun 2002 yang mana surau serta dewan sekolah telah dirobohkan untuk pembangunan blok asrama baru.  Pembinaan surau sementara dilakukan bagi aktiviti solat berjemaah bersebelahan blok pentadbiran sekolah.
Pada tahun 2002, 2004 dan 2005 satu lagi peristiwa penting melanda SMK Matang berikutan pembangunan pendidikan di negeri Terengganu yang telah berjaya membuka tiga buah sekolah lagi di daerah Hulu Terengganu iaitu SMK Telemong, SMK Jenagor dan SMK Kuala Jenderis.  Justeru itu, berlaku pemindahan sekumpulan pelajar tingkatan satu dan dua ke sekolah-sekolah berkenaan bagi mengisi kekosongan kelas yang disediakan.  Pemilihan pelajar adalah berdasarkan kawasan tempat tinggal mereka yang terletak berhampiran dengan sekolah-sekolah tersebut.  Oleh yang demikian, bilangan pelajar di SMK Matang yang tinggal kini hanya mencecah lebih kurang 750 orang sahaja untuk menempati 26 buah kelas yang disediakan.
Pada akhir tahun 2006, surau sementara juga turut mencecah bumi bagi tujuan pembinaan blok baru setinggi dua tingkat sebagai makmal komputer.

Pembestarian

Pada tahun 1999 juga, sekolah ini telah dipilih sebagai salah sebuah daripada 87 buah sekolah bestari di Malaysia dan salah sebuah daripada 4 buah sekolah bestari di Terengganu.  Bermula pada tahun ini (2007), sekolah SMK Matang diberi mandat sebagai model sekolah bestari bagi kawasan pedalaman.  Tugas besar ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para guru sekolah ini sendiri dalam menjayakannya.
Tujuan pembestarian sekolah adalah untuk membantu warga sekolah memahami keperluan untuk berubah seiring dengan kemajuan teknologi semasa.  Pembekalan komputer terkini di sekolah sebanyak 37 buah komputer.  Penggunaannya dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar secara sederhana dalam menyiapkan sebarang tugasan.  Sekurang-kurangnya pelajar mengetahui sedikit kemahiran asas penggunaan komputer telah menjadi wadah untuk persiapan mereka selepas tamat persekolahan pada masa akan datang.

Kokurikulum

Tidak dinafikan bahawa SMK Matang agak cemerlang dalam bidang kokurikulum sama ada dalam bentuk akademik atau non akademik khususnya di peringkat Daerah Hulu Terengganu berbanding dengan sekolah-sekolah lain.
Pada tahun 1990, sekolah ini pernah dinobatkan sebagai Sekolah Projek Tunas Cemerlang sehingga melahirkan atlet yang berjaya beraksi sehingga ke peringkat kebangsaan.  Salah seorang atlet tersebut merupakan salah seorang guru yang sedang bertugas di sekolah ini sekarang iaitu Puan Hayati binti Ahmad.  Kegigihan beliau dalam bidang sukan telah melayakkannya menempatkan diri ke menara gading.

Senarai Pengetua

Bemula dari 1982 sehingga hari ini, SMK Matang telah ditadbir oleh 8 orang pengetua seperti yang tersenarai di bawah;
BIL
NAMA GURU BESAR/PENGETUA
TAHUN PERKHIDMATAN
1.
En. Adnan bin Mohd. Nor
1 Dis 1982 – 30 Sep 1987
2.
En. Wan Omar bin Wan Mahmud
1 Okt 1987 – 31 Dis 1988
3.
En. Mohd. @ Mohd. Ali bin Muda
1 Jan 1989 – 15 Ogos 1992
4.
En. Yusof @ Mat Zin bin Tahar
16 Okt 1992 – 29 Feb 1996
5.
Tn. Haji Wan Husain bin Wan Awang
1 Mac 1996 – 15 Jan 1998
6.
Tn. Haji Abdul Rashid bin Abdul Majid
16 Jan 1998 – 19 Mac 2006
7.
Pn. Meriam binti Jusoh
16 Mei 2006 – Ogos 2010
8.
Tiada pengetua
Ogos 2010 – Julai 2011
9.
Pn . Hjh Wan Kelsum binti Wan HitamJulai 2011 – kini